
Untuk berkomunikasi dengan makhluk asing di angkasa lepas, penduduk bumi pastinya memerlukan wakil yang dilantik khas untuk berinteraksi dengan entiti berkenaan. Sekiranya terdapat makhluk asing yang ingin berinteraksi dengan penduduk bumi, maka bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa) Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman, 58 juga seorang rakyat Malaysia bakal menjadi orang yang mula-mula sekali bertemu dengan makhluk asing secara rasminya.
Tanggungjawab itu diberikan kepada Mazlan secara rasminya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaras dengan kedudukannya sebagai Ketua Pengarah di Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas PBB yang beribu pejabat di Vienna, Austria.
Menurut laman web berita utama Australia, www.news.com.au, Mazlan akan menjelaskan peranan terbarunya ketika menyampaikan ceramah pada persidangan saintifik Universiti St. Andrews di Pusat Antarabangsa Kavli Royal Society, London pada minggu depan.
Pada persidangan itu, beliau dijadual berucap kepada para delegasi berhubung penemuan-penemuan terbaru berkaitan ratusan planet baru yang ditemui dalam sistem cakerawala.
Ia mungkin ada kaitan dengan kemungkinan manusia mampu berkomunikasi dengan makhluk asing.






